Alexis Sanchez tetap turun berlatih seperti biasa awal hari ini walaupun mengakui mengalami kecederaan buku lali menjelang aksi menentang Uruguay dalam aksi terakhir Kumpulan C esok. - AFP
RIO DE JANEIRO - Jurulatih Chile, Reinaldo Rueda pening kepala untuk menentukan sama ada penyerang bintangnya, Alexis Sanchez perlu direhatkan atau diturunkan apabila menentang Uruguay awal pagi esok.
Sanchez, 30, mengalami kecederaan buku lali ketika menewaskan Ecuador 2-1 sebelum ini dan jika direhatkan, dia mampu untuk memulihkan diri untuk aksi suku akhir kerana Chile sudah layak lebih awal.
Namun jika mahu muncul juara Kumpulan C bagi mengelak bertemu juara Kumpulan B, Colombia di suku akhir, kudrat Sanchez sudah pasti diperlukan kerana hanya kemenangan atau seri ke atas Uruguay boleh merealisasikannya.
“Ini yang sedang kami fikirkan bergantung kepada reaksi pemain selepas latihan terakhir. Apa yang saya tahu, semua pemain mahu diturunkan esok dengan masing-masing cukup komited,” kata Rueda yang berada dalam dilema.
Ini memandangkan Sanchez adalah penyumbang gol utama dalam dua aksi pertama peringkat kumpulan sekaligus kelibatnya amat penting sekali dalam memastikan hala tuju pasukannya tercapai.
“Kami akan buat keputusan (tentang Sanchez) selepas lihat keadaannya dalam latihan. Tengok sama ada dia boleh berlari dan mampu memikul bebanan yang diletakkan ke atasnya,” tambah Rueda.
Seorang lagi tonggak, Arturo Vidal turut disahkan Rueda mengalami kecederaan otot dan pemain tengah Barcelona itu juga belum pasti dapat diturunkan kerana bergantung kepada keadaan semasanya. - AFP
Comentários
Postar um comentário