Dani Alves mendapat kepercayaan menjadi ketua pasukan Brazil menghadapi Piala Copa Amerika 2019 ketika ketiadaan Neymar yang digantung tiga perlawanan. - AFP
RIO DE JANEIRO 28 Mei - Ketiadaan Neymar akibat penggantungan tiga perlawanan memaksa skuad kebangsaan Brazil memilih Dani Alves menggantikan penyerang termahal dunia itu sebagai ketua pasukan.
Ini bermakna Alves akan mengetuai cabaran Brazil pada saingan Piala Copa Amerika edisi ke-46 yang akan berlangsung di negara itu dari 14 Jun hingga 7 Julai ini.
“Keputusan ini dibuat selepas jurulatih, Tite berbincang dengan Neymar,” kata Persekutan Bolasepak Brazil (CBF) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Neymar, 27, digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas terlibat menyerang penonton susulan daripada kekalahan mengejut Paris Saint Germain (PSG) kepada kelab Rennes dalam saingan Piala Perancis awal bulan ini.
Brazil yang merupakan juara lapan kali Piala Copa Amerika diundi dalam satu kumpulan dengan Bolivia, Venezuela dan Peru di pusingan awal. Sebagai persiapan menjelang kejohanan bola sepak terbesar di Amerika Selatan itu, Brazil akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Qatar dan Honduras.
Ini bukan kali pertama Neymar terlepas aksi penting bersama skuad Brazil seperti ini. Pada 2014, dia tidak diturunkan ketika Brazil kalah besar 1-7 kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia kerana cedera belakang badan. - AFP
Comentários
Postar um comentário