
KOMPLEKS bola sepak Granja Comary. - Foto EPA
TERESOPOLIS, Brazil: Tuan rumah Copa America, Brazil memulakan persiapan untuk temasya berkenaan dekat pusat latihan di Teresopolis hari ini walaupun tidak disertai ramai pemain utama.
Hanya tujuh pemain dijangka tiba di kompleks bola sepak Granja Comary dekat Rio de Janeiro untuk minggu pertama latihan.
Neymar, pemain paling mahal dunia dijangka akan tiba pada 28 Mei bersama rakan sepasukan PSG, Daniel Alves, Thiago Silva dan Marquinhos.
Pemain sayap Everton, Richarlison menjadi pemain pertama tiba hari ini.
“Saya mahu segera berada di padang untuk berlatih, saya gembira berada di sini bersama skuad, ia saat yang unik,” kata Richarlison dalam kenyataan dikeluarkan persekutuan bola sepak Brazil.
Richarlison disertai penyerang berusia 22 tahun Ajax Amsterdam, David Neres.
Fernandinho, Gabriel Jesus dan Casemiro dijangka akan tiba lewat hari ini manakala Ederson dan Filipe Luis esok.
Alisson dan Roberto Firmino yang bermain pada final Liga Juara-Juara 1 Jun ini bersama Liverpool, yang terakhir akan tiba. - AFP
Comentários
Postar um comentário