
DANI Alves. - Foto AFP
SOA PAULO: Dani Alves hari ini dilantik sebagai kapten Brazil yang baharu menggantikan Neymar pada Kejohanan Copa America, yang akan berlangsung selama sebulan di Brazil bermula bulan depan.
Sebelum ini, bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dipilih sebagai kapten oleh pengendali Brazil, Tite pada September 2018.
Bagaimanapun, hari ini dia digantikan dengan Alves yang berusia 36 tahun.
Persatuan Bolasepak Brazil (CBF) menerusi kenyataan menyatakan: "Keputusan itu sudah dimaklumkan Tite kepada Neymar Sabtu lalu."
Pengumuman itu hadir selepas keributan yang berlaku dalam kem PSG, yang menyaksikan pengendalinya, Thomas Tuchel turut melucutkan lilitan kapten dari lengan baju Neymar.
Neymar – yang menyumbat 23 gol dalam semua kejohanan musim ini sejurus sembuh dari kecederaan kakinya, digantung tiga perlawanan Ligue 1 angkara bergaduh dengan penyokong lawan selepas PSG kalah di tangan Rennes dalam final Piala Perancis, bulan lalu.
Peranan pemain berusia 27 tahun itu kurang menyerlah susulan kegagalan skuad Brazil mara ke separuh akhir di Piala Dunia Russia tahun lalu.
Dalam kempen Copa America kali ini, Brazil diundi dalam Kumpulan A bersama Bolivia, Peru dan Venezuela.
Brazil akan memulakan aksi pertama menentang Bolivia di Sao Paulo pada 14 Jun ini. - Agensi
Comentários
Postar um comentário