LIONEL Messi, Sergio Aguero ketuai Argentina hadapi Copa America 2019 yang bakal bermula pertengahan Jun ini.- REUTERS
BUENOS AIRES 22 Mei - Kapten Barcelona, Lionel Messi dan penyerang sensasi Manchester City Sergio Aguero mengetuai senarai 23 pemain skuad Copa America selepas diumumkan jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, hari ini.
Pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG), Angel Di Maria turut disenaraikan namun aksi yang tidak konsisten Gonzalo Higuain, yang dipinjamkan di Chelsea dari Juventus disisihkan daripada skuad negaranya.
“Inilah pemain terbaik bagi satu masa penting buat pasukan kebangsaan,” kata Scaloni menjelang kejohanan yang dianjurkan oleh Brazil sebagai tuan rumah, bermula 14 Jun depan.
Argentina akan beraksi dalam Kumpulan B yang turut dibarisi pasukan Colombia, Paraguay dan pasukan jemputan Qatar, hos Piala Dunia 2022 dan juara Asia.
Messi, yang hanya kembali ke pangkuan skuad Argentina Mac lalu selepas lapan bulan tidak beraksi susulan Piala Dunia di Rusia, akan menyambut hari jadi ke-32 ketika kejohanan itu.
Dalam masa sama, Di Maria, sama seperti Messi, melakukan kemunculan semula selepas Piala Dunia pada Mac lalu bagi dua aksi persahabatan menentang Venezuela dan Maghribi, namun pemain Manchester City, Aguero tidak dipanggil sejak Argentina tewas 3-4 pada pusingan 16 terakhir di tangan juara Perancis di Rusia.
Argentina tidak pernah memenangi Copa America atau mana-mana kejohanan utama antarabangsa sejak 1993, malah peluang untuk menamatkan kemarau itu gagal apabila tewas dalam empat final daripada lima edisi terakhir kejohanan tersebut.- AGENSI
Comentários
Postar um comentário