
Neymar
TERESOPOLIS, Brazil: Pemain bintang Brazil, Neymar dijangka menyertai latihan skuad Brazil untuk berdepan kejohanan Copa Amerika esok, tiga hari lebih awal selepas diberi pelepasan oleh kelab Paris St Germain (PSG), Perancis.
Pegawai media Persekutuan Bolasepak Brazil, Vinicius Rodrigues berkata, penyerang Brazil itu dijangka tiba ke tanah selepas berlaku perubahan jadual penerbangan.
“Dia akan tiba esok di antara jam 11 pagi hingga tengahari (waktu tempatan), “ kata Rodrigues di Kompleks Granja Comary di Teresopolis, dekat Rio de Janeiro.
Neymar, selaku pemain termahal dunia pada asalnya dijangka tiba pada 28 Mei, enam hari selepas Brazil memulakan persiapan untuk kejohanan itu, namun tiada penjelasan diberikan berhubung perubahan jadual pemain itu.
Media Brazil dapat menghidu kepulangan awal Neymar apabila dia tidak kelihatan pada sesi latihan PSG yang berdepan Reims pada aksi terakhir Ligue 1.
Rakan sepasukannya Marquinhos dan Thiago Silva, yang juga sebahagian daripada skuad Brazil, masih kekal berada di Paris.
Ketika ditanya sama ada Neymar dilepaskan daripada latihan, jurulatih Thomas Tuchel berkata :”bukan daripada saya”.
Neymar diketepikan daripada dua perlawanan terakhir PSG musim ini dan Trofi Juara-Juara Perancis selepas digantung tiga perlawanan susulan bertelagah dengan penonton selepas PSG mengalami kekalahan mengejut di tangan Rennes pada final Piala Perancis awal bulan ini.
“Neymar adalah pemain terbaik kami. Bagus jika dia ada di sini, dia berkongsi pengalamannya dengan kami,” kata penjaga gol Manchester City Ederson.
Sementara pemain sayap Everton, Richarlison mengakui kehadiran Neymar mampu meningkatkan semangat rakan lain menjalani latihan.
Brazil, juara lapan kali kejohanan itu akan berdepan Bolivia, Venezuela dan Peru pada peringkat kumpulan yang bermula 14 Jun ini, selepas mengharungi dua aksi persahabatan menentang Qatar dan Honduras.- AFP
Comentários
Postar um comentário