Pular para o conteúdo principal

RTM siar Copa America mulai 15 Jun ini


KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak di negara ini bakal merasai ‘Demam Copa America 2019’ selepas Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membawa kejohanan berprestij berkenaan di hadapan kaca televisyen masing masing.
Ini selepas stesen televisyen kerajaan itu memperoleh hak sebagai penyiar berlesen bagi kejohanan bola sepak terulung di benua Amerika Selatan itu sekali gus membuktikan komitmen penyiar itu dalam memberikan perkhidmatan kandungan sukan terbaik dan percuma kepada semua penyokong.
Bagi edisi ke-46 ini, RTM bakal menyiarkan 80 perlawanan secara keseluruhan membabitkan perlawanan langsung, siaran tertunda dan ulangan menerusi saluran TV1, TV2 dan RTM HD Sports selain menerusi laman sesawang dan aplikasi RTM Mobile.
Siaran akan bermula 15 Jun ini membabitkan perlawanan antara tuan rumah, Brazil bertemu Bolivia secara langsung di TV2 dan RTM HD Sports pada jam 8 pagi dengan siaran ulangannya pada jam 11 malam di TV1 dan 3 petang di RTM HD Sports.
Ketua Pengarah Penyiaran, Muis Shefii berkata pihaknya membelanjakan sebanyak RM2.9 juta daripada peruntukan tahunan mereka untuk ‘membawa’ kejohanan terbabit ke negara ini.
“Kita sedang usahakan untuk mendapatkan penajaan dan inisiatif RTM mengambil langkah ini adalah untuk memupuk semangat perpaduan kerana bola sepak adalah sukan yang diminati semua lapisan masyarakat.
“Malah, prestij sukan ini juga tinggi kerana ia adalah antara pertandingan bola sepak yang terbesar di dunia. Jadi, RTM akan terus menyajikan perkhidmatan sukan terbaik kepada semua penyokong,” katanya pada majlis pelancaran Copa America 2019 di Bangsar South, dekat sini.
Sebagai rekod, Copa America 2019 yang dianjurkan secara dwi tahunan itu akan membuka tirainya pada 14 Jun hingga 7 Julai ini menampilkan 10 pasukan dari benua Amerika Selatan iaitu Brazil, Venezuela, Bolivia, Peru, Argentina, Paraguay, Colombia, Uruguay, Ecuador dan Chile selain dua pasukan dari Asia sebagai pasukan jemputan iaitu Jepun dan Qatar.
Dengan penampilan bintang berkelas dunia seperti Neymar (Brazil), Luiz Suarez (Uruguay) dan Lionel Messi (Argentina), sudah tentu kejohanan ini akan menarik perhatian pencinta bola sepak di negara ini.
Edisi 2016 menyaksikan Chile merangkul gelaran kedua buat kali kedua berturut turut dengan menewaskan Argentina 4-2 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit perlawanan.
Pasukan paling banyak meraih gelaran Copa America adalah Uruguay dengan 15 gelaran, diikuti Argentina (14) dan Brazil (8).
MUIS (tengah) bersama Pengarah Bahagian Program TV RTM, Norliza Ali (empat kiri) bergambar pada sidang media Copa Amerika 2019 di Hotel VE, Bangsar South. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Comentários