Pular para o conteúdo principal

10,000 pengawal dan anjing pengesan kawal Copa America


RIO DE JANEIRO: Brazil akan mengerah pasukan keselamatan terbesar termasuk menggunakan anjing pengesan dalam memastikan kelancaran pertandingan tatkala puluhan ribu penyokong dijangka membanjiri Brazil apabila sepak mula bermula Jumaat ini.
Dianggarkan kira-kira 10,000 pengawal keselamatan swasta akan dikerah sebagai anggota tambahan yang ditempatkan dalam stadium utama manakala polis berpakaian seragam akan berkawal di luar stadium bagi mengekang kumpulan samseng bola sepak daripada membuat kacau.
"Dengan pengalaman yang ada, saya beri jaminan kami mampu menjayakan Copa America kali ini dengan selamat,” kata Pengarah Operasi Bersepadu Kementerian Keselamatan, Cesar Martinez, semalam.
Sebelum ini, Brazil pernah menjadi tuan rumah Piala Konfederasi pada 2013, Piala Dunia 2014 dan temasya Sukan Olimpik Rio pada 2016 tanpa insiden besar di semua bandaraya utamanya.
Brazil mengambil langkah awal menapis kemasukan samseng bola sepak luar daripada memasuki negara mereka menjelang sepak mula kejohanan itu sebagai langkah mengurangkan risiko keganasan.
Pihak imigresen dan pengawal sempadan juga sudah diingatkan supaya mengenal pasti suspek keganasan sambil Jabatan Keselamatan Imigresen menggunakan teknologi pengecaman wajah di semua pintu masuk negara itu.
Argentina memberi kerjasama rapat apabila menyalurkan maklumat 5,000 penyokong mereka yang pernah terbabit dalam keganasan bola sepak.
Selain itu, Martinez mengesahkan pihaknya setiap hari dibekalkan maklumat terkini mengenai individu yang mungkin disyaki berpotensi melakukan keganasan di Brazil.
Menurutnya, tahap kawalan keselamatan di lapangan terbang, hotel, kawasan tumpuan pelancongan dan jalan raya digunakan diplomat asing sudah dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan.
Namun, kali ini ia berbeza apabila kerajaan tidak menggunakan anggota tentera bagi mengawal jalan raya di Rio de Janeiro seperti dilakukan ketika temasya Olimpik 2016. - AFP

Comentários