Pular para o conteúdo principal

Alisson tabik semangat juang Selecao

Penjaga gol Brazil, Alisson meraikan kejayaan sejurus tamat perlawanan menentang Paraguay pada penentuan sepakan penalti pada Copa America, pagi tadi. - Foto AFP
PORTO ALEGRE, Brazil: Penjaga gol Brazil, Alisson menabik semangat juang rakan sepasukannya yang mengesahkan tempat ke peringkat empat terbaik Copa America dengan menyingkirkan Paraguay, pagi tadi.
Brazil terpaksa bekerja keras dan dipaksa mengharungi penentuan penalti - mimpi ngeri yang ingin dielak bertemu Paraguay - selepas 90 minit permainan terikat 0-0 sebelum menamatkan badi dan mara menerusi keputusan 4-3.
Alisson yang juga penjaga gol Liverpool bertindak cemerlang apabila menyelamatkan cubaan pertama Paraguay menerusi Gustavo Gomez sebelum Derlis Gonzalez turut gagal menyempurnakan penaltinya.
“Pasukan ini layak meraih kemenangan,” kata Alisson yang memulakan kariernya di sini. “Ia seri tetapi menentang pasukan yang tidak mahu bermain melainkan serangan balas adalah sukar. 
“Kami sudah mara selangkah ke depan, dua lagi langkah untuk mencapai objektif kami iaitu menjadi juara Copa America.”
Gabriel Jesus yang mengambil sepakan terakhir Brazil mengakui berdebar selepas gagal menyempurnakan penalti pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum ini menentang Peru.
“Pada perlawanan terakhir, saya tidak melihat penjaga gol dan saya hanya melakukan rembatan sekuat yang mungkin dan penjaga gol melakukan melakukan aksi menyelamat yang hebat,” kata Jesus.
“Hari ini, saya melakukannya seperti biasa, saya melihat dengan tenang penjaga gol dan saya dapat melihatnya bergerak ke kiri dan melorongkan bola ke arah berlawanan.”
Pada perlawanan itu, Paraguay terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-58 susulan kekasaran Fabian Balbuena terhadap Roberto Firmino dan menampilkan corak permainan bertahan bagi menghalang gawang mereka daripada dibolosi.
Sebagai rekod, Brazil sebelum ini dua kali tewas kepada Paraguay menerusi penentuan penalti di peringkat sama kejohanan benua itu pada edisi 2011 dan 2015. - AFP

Comentários