Pular para o conteúdo principal

Argentina di tahap terbaik hadapi Venezuela

KETUA jurulatih Argentina, Lionel Scaloni (kiri) memerhatikan
KETUA jurulatih Argentina, Lionel Scaloni (kiri) memerhatikan pemainnya ketika sesi latihan di Rio de Janeiro, Brazil menjelang aksi suku akhir Copa Amerika menentang Venezuela. - AFP
RIO DE JANEIRO - Argentina positif menjelang aksi suku akhir Copa Amerika menentang Venezuela malah ketua jurulatih skuad La Albiceleste, Lionel Scaloni akui mereka sudah tidak sabar untuk memulakan aksi berkenaan pada awal pagi esok.
Sebelum ini Argentina diselubungi prestasi tidak menentu apabila memulakan kempen Copa Amerika dengan kekalahan 0-2 kepada Colombia dan seri 1-1 melawan Paraguay sekali gus meletakkan juara 14 kali itu di ambang penyingkiran awal.
Bagaimanapun, skuad kendalian Scaloni berjaya mempamerkan peningkatan prestasi apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan pelawat, Qatar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang membawa mereka ke peringkat kalah mati.
“Kemenangan itu telah meningkatkan keyakinan kami.
“Kini kami amat yakin pasukan ini mampu meneruskannya selain masih diselubungi dengan aura yang positif.
“Bagi saya ia perlawanan yang berbeza namun kami tetap akan bermain dengan tiga pertahanan tengah, barisan yang berbeza bukan saja dari sudut pemain tetapi formasi.
“Kami terpaksa akui tidak mudah untuk menentang mereka.
“Jika anda fikir mampu mendominasi perlawanan ia mungkin silap kerana dalam beberapa saat mereka akan menyerang dengan pantas,” kata Scaloni. - AFP

Comentários