Pular para o conteúdo principal

Argentina harus kekal positif

MESSI mahu rakan-rakan sepasukan terus berfikiran positif dan

MESSI mahu rakan-rakan sepasukan terus berfikiran positif dan yakin bahawa Argentina akan melangkah ke pusingan kalah mati pada saingan Copa America 2019.
BELO HORIZONTE, Brazil- Penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi menggesa rakan-rakan sepasukannya agar berfikiran positif meskipun nasib skuad La Albiceleste diibaratkan seperti telur di hujung tanduk pada Kejohanan Copa America 2019.
Selepas tewas 0-2 kepada Colombia dan seri 1-1 dengan Paraguay, Argentina berdepan aksi wajib menang pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B menentang Qatar pada pagi Isnin depan.
Messi menegaskan, Argentina harus berfikiran secara positif memandangkan pasukan tersebut masih memiliki peluang meskipun seri dengan Paraguay pada Rabu lalu.
Pada aksi itu, sepakan penalti pemenang lima kali Ballon d’Or itu pada minit ke-57 berjaya membantu Argentina menyamakan kedudukan selepas Paraguay terlebih dahulu memperoleh gol pembukaan menerusi Richard Sanchez pada minit ke-37.
“Kami harus berfikiran positif dan mengekalkan keyakinan kami. Kami juga perlu me­ningkatkan usaha untuk mempamerkan aksi sebaik mungkin bagi perlawanan seterusnya. Kami wajib menang,” tegas Messi yang juga penyerang Barcelona.
Hanya kemenangan ke atas Qatar pada aksi terakhir kumpulan dijangka mencerahkan harapan Argentina untuk melangkah ke pusingan suku akhir memandang­kan lapan daripada 12 pasukan yang bersaing akan melangkah ke peringkat kalah mati.
Ini bermaksud dua pasukan teratas daripada tiga kumpulan dan dua pasukan terbaik yang menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan masing-masing akan layak ke peringkat seterusnya.
“Sesuatu yang tidak masuk akal jika kami gagal mara dari peringkat kumpulan sedangkan tiga pasukan secara praktikalnya boleh melangkah ke pusingan kalah mati,” kata Messi yang genap berusia 32 tahun pada Isnin depan.
Justeru, kemenangan di Stadium Minerao, Belo Horizonte akan menyaksikan Argentina menamatkan saingan tidak le­bih daripada kedudukan ketiga, namun masih berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati. – Agensi

Comentários