RIO DE JANEIRO - Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mempertahankan kapten, Lionel Messi meskipun bintang Barcelona itu menampilkan aksi kurang meyakinkan pada saingan Copa Amerika 2019.
Meskipun hanya menjaringkan satu gol setakat ini, namun Messi berjaya mengetuai Argentina mara ke separuh akhir selepas membantu pasukan itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Venezuela pada aksi suku akhir di Stadium Maracana awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez dan pemain tengah, Giovani Lo Celso masing-masing menjaringkan satu gol bagi membawa skuad La Albiceleste itu ke pusingan empat pasukan terbaik.
“Saya fikir masih ramai orang yang sependapat dengan saya apabila menganggap kehadiran Messi di atas padang memberi kelebihan kepada Argentina dalam setiap perlawanan.
“Sekiranya anda semua boleh lihat sumbangannya dalam bilik persalinan selain mengambil kira peranannya membantu rakan sepasukan di atas padang, mungkin anda tidak akan cuba mengkritik Messi,” kata Scaloni.
Kemenangan itu memastikan Argentina menempah slot separuh akhir menentang tuan rumah, Brazil, sekali gus menjadi perlawanan yang amat dinanti-nantikan pada edisi kali ini.
“Perlawanan itu nanti akan menjadi pengalaman yang amat hebat untuk semua peminat bola sepak di luar sana. Bagaimanapun, kami mungkin berdepan kesukaran, namun kami akan cuba memenangi perlawanan tersebut,” ujarnya. – Agensi
Comentários
Postar um comentário