
Arthur cedera ketika menentang Honduras minggu lalu. - Foto fail Reuters
SAO PAULO: Brazil sekali lagi menerima tamparan apabila memulakan langkah pertama di Copa America melawan Bolivia esok tanpa khidmat Arthur yang cedera ketika perlawanan persahabatan, baru-baru ini.
Arthur yang juga perancang utama Barcelona terpaksa digugurkan pada aksi pembuka tirai yang berlangsung di Stadium Morumbi susulan cedera ketika menentang Honduras minggu lalu dan tempatnya kini digantikan sama ada Allan atau Fernandinho.
"Arthur tidak akan diturunkan kerana dia tidak dapat menjalani latihan penuh dan saya tidak mahu mengambil risiko menurunkannya,” kata pengendali Brazil, Tite kepada wartawan pada sidang media pra perlawanan, pagi ini.
Bagaimanapun, rakannya, Casemiro, yang beraksi untuk kelab Sao Paulo sebelum pindah ke Real Madrid pada 2013, yakin memulakan langkah Brazil dalam pertandingan kompetitif sejak mereka dimalukan oleh Belgium yang menyingkirkan mereka di suku akhir Piala Dunia Russia 2018.
"Memang mendebarkan, ia perkara biasa apabila kamu berdepan kejohanan besar seperti ini,” kata Casemiro.
"Ia perlawanan yang rumit kerana kami tahu corak permainan Bolivia. Kami tahu mereka melakukan persiapan rapi terutama bahagian pertahanan. Jadi pada aksi esok, seperti diarahkan jurulatih, kami perlu kuat dari segi mental dan terus fokus.”
"Ia lebih istimewa buat saya esok, kerana saya anggap gelanggang ini sebagai rumah saya, kelab yang membantu saya menjadi seorang lelaki sejati. Saya akan cuba menjaringkan gol, walaupun bukan tugas saya memburu jaringan cuma saya akan cuba membantu rakan-rakan lain,” kata Casemiro.
Selepas menentang Bolivia, Brazil akan berdepan Venezuela pada 18 Jun disusuli melawan Peru pada 22 Jun. - Reuters
Comentários
Postar um comentário