Pular para o conteúdo principal

Brazil pincang tanpa Neymar?


BRAZIL mengharapkan kemenangan dalam setiap kejohanan yang mereka sertai, terutamanya di laman sendri namun mereka melangkah ke kempen Copa America minggu depan tanpa ayam tambatan mereka, Neymar dan hilang sentuhan emas yang selama ini menjadi identiti mereka.
Mereka tidak pernah tewas sejak Belgium menyingkirkan mereka daripada Piala Dunia 2018 pada aksi suku akhir namun 10 perlawanan tanpa kalah - tidak termasuk kejayaan membelasah Honduras 7-0 minggu lalu - hadir tanpa sentuhan berbisa mereka.
Persediaan Brazil ke Copa banyak dibayangi Neymar - pertama, dakwaan merogol ke atas penyerang itu yang dinafikannya dan kecederaan buku lali minggu lalu yang menyebabkannya tidak dapat beraksi.
Skuad Tite terbukti bagus dalam kejohanan tetapi jurulatih itu cuba mengendalikan peralihan generasi dan berkata pemilihan skuad 23 pemain itu ‘paling sukar’ dilakukannya sejak mengambil alih pasukan tiga tahun lalu.
Brazil hanya menyenaraikan 14 daripada skuad yang menyertai Piala Dunia di Russia tahun lalu dengan pemain Everton Richarlison, David Neres dari Ajax Amsterdam dan pemain tengah Artur dari Barcelona dan Luca Paqueta dari AC Milan antara pemain muda.
Selain kelebihan di laman sendiri, mereka bernasib baik kerana diletakkan dalam kumpulan mudah menentang Bolivia, Peru dan Venezuela.
Persoalan besarnya adalah bagaimana mereka mahu menangani ketiadaan Neymar namun ia mungkin membawa rahmat kepada pasukan.
Tanpa penyerang Paris Saint Germain itu, tiada lagi suasana ‘sarkas’ di dalam skuad dan fokus hanya tertumpu di padang.
“Kami bermain di negara sendiri dan harapan tinggi diletakkan untuk kami menang,” kata Tite.
“Namun harapan itu bergantung kepada sejauh mana kami beraksi. Adakah kami akan menang? Saya tidak tahu tetapi saya mahu kita melakukan apa yang terbaik.”

Comentários