Pular para o conteúdo principal

Brazil tagih aksi Neymar

 


BINTANG bola sepak Brazil, Neymar dijangka beraksi pada saingan Copa Amerika akan datang walaupun didakwa terbabit dalam tuduhan merogol.
Presiden Persekutuan Bolasepak Brazil, Rogerio Caboclo berkata, “Tidak mustahil buat dia mengambil bahagian dalam Copa Amerika,” kata Caboclo kepada media sempena kongres FIFA di Paris.
“Kami mengikuti perkembangan kes ini secara dekat dan kami menaruh keyakinan kepada Neymar, kami tahu bagaimana kelakuannya dan semangat kesukanan yang dimilikinya,” katanya.
Neymar, 27, dituduh merogol seorang wanita Brazil di sebuah hotel di Paris pada pertengahan Mei selepas dua bulan berkenalan dan berhubung menerusi media sosial sehingga wanita berkenaan pergi ke Paris untuk bertemu Neymar.
Neymar menafikan dia merogol wanita itu. Dia kini di Brazil melakukan persediaan untuk Copa, yang dijadualkan berlangsung di negara itu dari 14 Jun hingga 7 Julai ini.
Caboclo berkata jika Neymar menjadi sasaran kepada peminat yang membencinya ketika beraksi, penyerang itu harus menghadapinya.
“Dia antara salah seorang daripada pemain terbaik di dunia, saya percaya penyokong akan memahaminya, ia sememangnya sangat sukar buat kami,” kata Caboclo.
Neymar menyiarkan tujuh minit video di Instagram pada Sabtu menafikan dia merogol wanita itu di sebuah hotel di Paris pada Mei.
Dalam video itu, dia menunjukkan perbualan bersama wanita terbabit menerusi mesej WhatsApp termasuk photo bogel wanita berkenaan di atas katil.
Polis Rio berkata pada Ahad mereka sudah menjalankan siasatan berkaitan termasuk meneliti maklumat lanjut di media sosial membabitkan wanita terbabit.
Dalam perkembangan terbaru membabitkan kes berprofil tinggi, firma yang berpangkalan di Sao Paulo mewakili wanita itu menarik kes berkenaan selepas mangsa menukar pengakuannya menurut laporan Globo TV.

Comentários