ALISSON meraikan kejayaan menyelamatkan sepakan penalti pemain Paraguay, Derlis Gonzalez (kiri) dalam suku akhir Copa America di Gremio Arena, Porto Alegre hari ini. - AFP
PORTO ALEGRE, Brazil - Penjaga gol Brazil, Alisson memuji semangat juang rakan-rakan sepasukan ketika menyingkirkan Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Copa America, hari ini.
Tuan rumah hampir berdepan mimpi ngeri apabila saingan diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat masa tambahan.
Brazil yang kalah kepada Paraguay dalam dua penentuan sepakan penalti pada suku akhir Copa America sebelum ini bagaimanapun menamatkan badi tersebut apabila menang 4-3.
Alisson yang juga penjaga gol Liverpool cemerlang apabila menyelamatkan cubaan pertama Paraguay menerusi Gustavo Gomez sebelum Derlis Gonzalez gagal menyempurnakan
penalti.
“Kami berhak menang. Menentang lawan yang tidak mahu bermain dan hanya mengharapkan serangan balas adalah situasi yang sukar
“Kami sudah mara selangkah, ada dua langkah lagi untuk mencapai objektif muncul juara Copa America,” kata Alisson.
Gabriel Jesus yang mengambil sepakan terakhir Brazil mengakui berdebar selepas gagal menyempurnakan penalti dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Peru.
“Pada perlawanan terakhir, saya tidak melihat penjaga gol dan hanya melakukan rembatan sekuat mungkin. Penjaga gol menyelamat tendangan itu dengan hebat.
“Hari ini, saya melakukannya seperti biasa, melihat dengan tenang penjaga gol dan saya dapat lihat dia bergerak ke kiri, dan saya melorongkan bola ke arah berlawanan," kata Jesus
Paraguay terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain selepas Fabian Balbuena dibuang padang pada minit ke-58 kerana mengkasari Roberto Firmino. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário