Pular para o conteúdo principal

Brazil terus diejek penyokong

PARA pemain Brazil terus gagal mendapat kepercayaan peminat apabila

PARA pemain Brazil terus gagal mendapat kepercayaan peminat apabila sekali lagi diejek selepas mereka sekadar terikat tanpa jaringan menentang Venezuela pagi semalam.
SALVADOR – Aksi menentang Ve­nezuela pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A saingan Copa America pastinya menjadi aksi yang mahu dilupakan Brazil apabila mereka sekadar melakar keputusan seri tanpa jaringan di Arena Fonte Nova pagi semalam.
Pada masa sama, mereka juga diejek penyokong sendiri sebaik aksi separuh masa kedua bermula memandangkan Brazil dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata pada pertemuan itu.
Bagaimanapun, pemain pertahanan Brazil, Thiago Silva menegaskan, mereka tidak berhak menerima ejekan tersebut memandangkan pemain-pemain The Selecao sudah menampilkan aksi terbaik, namun tuah tidak menyebelahi mereka pada perlawanan itu.
“Bagi saya, ejekan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Venezuela bukanlah calang-calang pasukan kerana turut melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol kami, namun kami bertahan dengan baik serta mengancam kubu pertahanan mereka.
“Saya akui kami ada lakukan beberapa kesilapan di depan gol lawan sehingga menyebabkan kami hilang keyakinan. Bagaimanapun, saya percaya semua pemain sudah bermain dengan baik hari ini walaupun tidak menjaringkan gol,” kata Silva.
Sementara itu, Filipe Luis juga turut mengakui sedih dan kecewa apabila diejek penyokong sendiri tetapi dia yakin rakan sepasukan tahu bagaimana untuk berdepan tekanan tersebut.
“Saya tahu semua pemain pernah berdepan situasi seperti ini dalam karier mereka, jadi sudah tentu mereka tahu bagaimana untuk mengatasinya. Brazil mungkin tewas sekiranya penyokong te­rus mengejek pasukan sendiri,” ujar Luis. – Agensi

Comentários