Pular para o conteúdo principal

Cavani akhirnya lunas dendam

EDINSON CAVANI meraikan jaringannya ketika menentang Chile dalam
EDINSON CAVANI meraikan jaringannya ketika menentang Chile dalam aksi Copa America di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil hari ini. - AFP
RIO DE JANEIRO - Edinson Cavani akhirnya memadam memori pahit 2015 apabila meledak gol tunggal Uruguay ketika menundukkan juara bertahan, Chile 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C, Copa America hari ini.
Tandukan lewat permainan Cavani membolehkan Uruguay muncul juara kumpulan, sekali gus bakal berdepan Peru pada suku akhir, Ahad ini.
Cavani, 32, dibuang padang ketika Uruguay tewas 0-1 kepada Chile dalam suku akhir Copa Amerika 2015 selepas diprovokasi oleh Gonzalo Jara.
Sejurus meledak gol pada minit ke-82, penyerang Paris Saint-Germain itu meraikan jaringan tersebut seolah-olah sudah memenangi trofi.
Dia kemudian memuji sikap dan mentaliti yang ditunjukkan rakan pasukannya dalam aksi di Stadium Maracana.
"Ada masanya kami bermain baik tetapi kadangkala kurang memuaskan, namun mentaliti dan sikap yang bagus membolehkan pasukan ini terus memberi saingan.
"Sejak awal lagi kami mahu menjuarai kumpulan tanpa memikirkan siapa yang bakal ditentang selepas itu.
"Harap semua pemain dapat terus memberikan imej yang baik dan sikap yang betul dalam aksi seterusnya," kata Cavani yang meledak gol ke-48 bersama skuad kebangsaan.
Chile yang memburu kejuaraan hatrik kini akan bertemu Colombia di Sao Paulo, Sabtu ini. - AGENSI

Comentários