
Reaksi Edinson Cavani sejurus membolosi gawang Ecuador pada perlawanan Copa America, hari ini. - Foto EPA
BELO HORIZONTE, Brazil: Penyerang Uruguay, Edinson Cavani menyifatkan kemenangan besar 4-0 terhadap Ecuador dalam aksi pembukaan Kumpulan C sebagai permulaan sempurna buat juara 15 kali Copa America itu.
Selain Cavani, yang meledak gol buat kali pertama di Copa America dalam empat edisi yang disertainya, turut mencetak nama selaku penjaring ialah penyerang Barcelona, Luiz Suarez selain Nicolas Lodeiro dan gol sendiri Arturo Mina.
Ecuador terpaksa beraksi 10 pemain selepas pertahanannya, Jose Quintero dilayangkan kad merah pada minit ke-24 perlawanan susulan kekasaran terhadap Lodeiro.
“Kami memperoleh peluang pada babak pertama, dan kami memanfaatkannya dan ia memberikan kami ketenangan mengharungi perlawanan,” kata Cavani.
“Ia langkah yang penting. Kami tahu mereka akan menjadi lawan yang amat sukar. Apa yang utama ialah memulakan perlawanan dengan tumpuan yang penuh dan kami berupaya melakukannya.”
Kemenangan besar itu menjadi permulaan sempurna buat Uruguay yang diundi dalam kumpulan bersama penyandang juara, Chile dan naib juara Asia, Jepun.
“Apa yang penting ialah pasukan menang dan kini kami akan bersedia untuk menghadapi perlawanan berikutnya,” kata Suarez dengan Uruguay akan bertemu Jepun, Khamis ini.
Jurulatih Ecuador, Hernan Dario Gomez percaya anak buahnya tidak beraksi terlalu buruk sekali pun keputusan yang diraih cukup mengecewakan.
“Kami tidak seteruk itu. Ia kerana perlawanan yang tidak memihak kepada kami, terutama pada babak pertama apabila semua yang kami miliki dalam setiap aspek dirampas,” kata pengendali kelahiran Colombia itu. - AFP
Comentários
Postar um comentário