
Arturo Vidal (kanan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Jepun pada perlawanan Copa America 2019, esok. - Foto EPA
SAO PAULO: Pemain tengah Chile, Arturo Vidal bertekad untuk menyuntik rasa gentar terhadap Jepun apabila kedua-duanya bertemu pada aksi Copa America 2019, esok.
Penyandang juara dua kali itu tidak diletakkan sebagai calon pilihan juara pada edisi kali ini apabila kehilangan beberapa tonggak yang menjulang pasukan bergelar pemenang pada 2015 dan 2016.
Tetapi pemain Barcelona, Vidal yakin masih banyak yang boleh ditawarkan ‘saki-baki’ generasi emas Chile pada kejohanan kali ini.
“Skuad ini sepatutnya digeruni, sejak daripada awal sehingga final. Kami berharap untuk mencapai sesuatu yang menakjubkan, tetapi kami akan mengharunginya satu demi satu perlawanan.”
Jepun membawa pasukan kurang berpengalaman ke Brazil dengan purata usia pemain adalah 22 tahun. Ketika skuad Blue Samurai yang tiba sebagai pasukan jemputan diumumkan, 17 pemain yang disenarai masih belum mendapat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Salah seorang daripadanya ialah Takefusa Kubo, 18, yang baharu dibeli gergasi Sepanyol, Real Madrid.
“Dia pemain yang mempunyai banyak kualiti, ada sebab dia berada di Real Madrid,” kata Vidal. “Kami menemuinya, menganalisa dengan amat baik dan kami tahu bagaimana untuk menghentikan pemain ini.
“Jepun adalah pasukan yang tersusun, mereka pantas dan kami perlu berjaga-jaga, memberi tumpuan dan apabila mereka mula bergerak, kami perlu cuba untuk melakukan serangan sehebat yang mungkin kerana mereka menggunakan formasi 5-4-1 yang amat sukar untuk menjaringkan gol.”
Selepas mengharungi tempoh yang mengujakan, ego Chile dirobekkan apabila gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.
Sejak itu, beberapa perubahan dibuat dengan penjaga gol veteran dan kapten, Claudio Bravo menjadi antara pemain yang disingkirkan daripada pasukan.
“Semuanya adalah baharu, proses baharu, pemain baharu, jurulatih baharu,” kata Vidal, 32, yang menjadi salah seorang pemain paling tua masih dipilih jurulatih kelahiran Colombia, Reinaldo Rueda dalam skuad kali ini. - AFP
Comentários
Postar um comentário