Pular para o conteúdo principal

Chile sertai Colombia ke suku akhir

Alexis Sanchez (dua dari kanan) dipeluk Arturo Vidal (kanan) ketika
Alexis Sanchez (dua dari kanan) dipeluk Arturo Vidal (kanan) ketika meraikan gol kemenangan Chile untuk menewaskan Ecuador 2-1 dalam saingan peringkat Kumpulan C Piala Copa America awal hari ini. - AFP
SALVADOR, Brazil - Juara bertahan, Chile menjadi pasukan kedua selepas Colombia mara ke suku akhir Piala Copa America selepas menang bergaya 2-1 ke atas Ecuador pada aksi kedua peringkat Kumpulan C awal hari ini.
Alexis Sanchez muncul wira Chile dengan melupakan terus musim buruk bersama Manchester United apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-51 ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas berakhir babak pertama.
Terdahulu, Jose Fuenzalida meletakkan Chile lebih dulu di depan hanya selepas lapan minit permainan bermula sebelum Enner Valencia menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil pada minit ke-26.
Ini merupakan jaringan Sanchez yang ke-43 sepanjang mewakili Chile yang terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas rakan sepasukan, Gabriel Achilier dilayangkan kad merah seminit sebelum permainan tamat.
Sanchez, 30, bagaimanapun selepas perlawanan mengesahkan dia ditimpa kecederaan lama di buku lali ketika babak pertama permainan lagi menyebabkan pergerakannya agak terbatas di babak kedua.
“Saya tergeliat ketika bermain. Harap ia tidak serius. Memang sudah dibalut ketika rehat tetapi saya masih merasakan kesakitannya di babak kedua permainan,” katanya.
Chile kini mengungguli Kumpulan C dengan enam mata daripada dua perlawanan dan akan bertemu Uruguay dalam perlawanan terakhir saingan peringkat awal itu pada Isnin ini. - AFP

Comentários