
AKSI pemain tengah Colombia, James Rodriguez (kanan) dikekang pemain pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi (tengah) pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Copa America 2019 di Salvador. - Foto AFP
SALVADOR, Brazil: Kejayaan menundukkan calon pilihan, Argentina 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B Copa America 2019, pagi tadi tidak membuatkan Colombia angkuh, kata perancang bintangnya James Rodriguez.
Sekali pun kedua-dua pasukan memiliki jentera serangan berbahaya, dengan Argentina diketuai Lionel Messi, peledak Manchester City Sergio Aguero manakala Colombia dijana Radamel Falcao serta Rodriguez, gol yang diperoleh diledakkan oleh pemain gantian.
Gol daripada Roger Martinez dan Duvan Zapata dalam tempoh 20 minit sebelum permainan berakhir memberikan Colombia kemenangan sulung ke atas Argentina dalam tempoh 20 tahun di kejohanan benua berkenaan.
“Perkara paling utama ialah kami semua berusaha sekeras yang mungkin, ia hari yang hebat untuk semua orang,” kata Rodriguez. “Perjalanan kami masih jauh daripada di mana yang kami mahu berada.”
Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz turut memuji sumbangan Rodriguez dan semangat berpasukan skuad kendaliannya.
“Colombia sebagai pasukan adalah yang terbaik di atas padang. Kami bermain dengan penuh disiplin, tanggungjawab dan pemain-pemain dengan kualiti James (Rodriguez) dan (Radamel) Falcao banyak membantu kami,” kata Queiroz.
Zapata dalam pada itu gembira dengan sumbangan yang diberikan terhadap pasukan sekali pun dimasukkan sebagai pemain gantian di penghujung permainan.
“Saya masuk ke padang dan membantu pasukan. Kami melakukan yang terbaik dan berjaya mengubah permainan pada penghujung babak kedua. Kami bermain dengan amat baik,” katanya yang membantu kelab Itali, Atalanta beraksi di Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab itu musim depan.
Lawan Colombia berikutnya dalam ialah juara Asia, Qatar sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan melawan Paraguay. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário