Philippe Coutinho (tengah) bersorak kegembiraan sebaik menanduk masuk gol kedua Brazil ketika bertemu Bolivia dalam aksi pertama Kumpulan A Piala Copa America di Sau Paulo sebentar tadi. Brazil menang 3-0. - AFP
SAO PAULO - Philippe Coutinho membuatkan nama Neymar terus dilupai apabila membantu mengemudi Brazil menang aksi pembukaan Piala Copa America dengan menewaskan Bolivia 3-0 sebentar tadi.
Pemain Barcelona itu menyumbang dua gol dalam tempoh empat minit dalam aksi pertama Kumpulan A tersebut, satu menerusi sepakan penalti di awal babak kedua dan satu lagi menerusi tandukan dari jarak dekat tiga minit kemudian.
Pemain gantian, Everton pula melengkapkan kemenangan bergaya Brazil dengan gol ketiga lima minit sebelum permainan tamat sekaligus memberikan permulaan baik buat tuan rumah pada saingan edisi kali ini.
Bagaimanapun kemenangan tersebut tidak dicipta dengan mudah kerana skuad bimbingan Tite ini lebih dulu diejek penyokong sendiri di babak pertama sebelum jaringan pembukaan Coutinho membuatkan mereka terdiam sehingga tamat perlawanan.
“Ejekan adalah sebahagian daripada permainan ini kerana penyokong mahu kami menang dan bermain dengan baik. Jadi sebab itu mereka lakukannya. Kami memang perlukan sokongan mereka.
“Maka kami fokus pada perlawanan. Ejekan mahu pun sorakan, yang penting ialah kami kekal fokus dan meraih kemenangan,” kata Coutinho selepas perlawanan yang lebih banyak dikuasai pasukannya itu.
Dominasi Brazil jelas ketara apabila memperoleh deretan peluang terhidang sebaik wisel permulaan dibunyikan namun hanya mampu memecah kebuntuan pada babak kedua permainan.
“Kami kena jujur, Brazil kalahkan kami dengan cara membanggakan,” kata jurulatih Bolivia, Eduardo Villegas. - AFP
Comentários
Postar um comentário