JURULATIH Paraguay, Eduardo Berizzo. - AFP
RIO DE JANEIRO - Pengendali Paraguay, Eduardo Berizzo meluahkan rasa kurang senang penyertaan pasukan jemputan dalam saingan Copa America dengan menyifatkan kejohanan itu seharusnya eksklusif untuk negara-negara dari benua Amerika sahaja.
Perkara itu diluahkan selepas pasukan kendaliannya diikat 2-2 dengan Qatar, dalam aksi pembukaan Kumpulan B, awal pagi tadi.
Turut diundang menyertai kejohanan tersebut adalah Jepun, Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mempunyai tradisi menjemput negara-negara luar untuk bertanding dengan wakil Asia, Australia, bakal mengambil bahagian dalam edisi 2020 di Colombia dan Argentina.
“Saya rasa adalah masuk akal apabila Copa America hanya membabitkan seluruh pasukan di Amerika. Adakah anda bertanya kepada saya mengenai negara-negara yang diundang seperti Qatar dan Jepun?
“Kami patut membayangkan seluruh Copa America, termasuk Amerika Tengah dan Amerika Utara untuk mengambil bahagian dalam kejohanan yang sama. Saya tidak pernah melihat Eropah menjemput mana-mana pasukan dari Amerika Selatan untuk bertanding.
“Jangan salah anggap, kenyataan ini mungkin agak keras berikutan kami baru sahaja diikat Qatar. Bagaimanapun, saya percaya Copa America perlu disertai semua pasukan di Amerika termasuk CONCACAF dan CONMEBOL,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Paraguay bermula baik apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Oscar Cardozo sebelum Derlis Gonzalez menggandakan jaringan untuk mereka selesa mendahuli 2-0 pada babak pertama.
Bagaimanapun, Qatar, bangkit dalam babak kedua apabila memperolehi dua gol masing-masing menerusi Almoez Ali dan gol sendiri Juan Rodrigo Rojas.
“Keputusan ini mengecewakan kami. Kami mahu menang, daripada peminat sehinggalah jurulatih.
“Saya tidak boleh mencipta alasan sekiranya kami gagal mempamerkan aksi yang baik. Apabila kami beraksi dengan baik, saya akan memberitahu bahawa kami telah melaksanakannya.
“Hari ini, kami berdepan kesulitan merebut bola terutama di kawasan tengah padang dan ketika mendahului 2-0. Jika kami mampu mengatasinya, kami sepatutnya meraih keputusan yang berbeza,” jelasnya. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário