
Aksi Philippe Coutinho (kanan) dalam pertemuan menentang Bolivia di Stadium Morumbi, Sao Paulo, Brazil. - Foto AFP
SAO PAULO: Pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho yang meledak dua gol ketika tuan rumah Copa America itu menundukkan Bolivia 3-0 pada aksi pembukaan, pagi tadi menyifatkan ejekan peminat sebagai sebahagian rencah permainan.
Brazil, yang menggunakan jersi berwarna putih dan biru serta tanpa kelibat bintang utamanya, Neymar tampak lesu pada babak pertama perlawanan untuk terikat tanpa jaringan sebelum diejek peminat ketika rehat.
Begitupun, jaringan bintang Barcelona, Coutinho menerusi penalti lima minit selepas babak kedua berlangsung diikuti gol kedua peribadinya tiga minit berselang mengembalikan senyuman di wajah peminat Selecao.
Pemain gantian, Everton melengkapkan jumlah jaringan ketiga Brazil pada aksi pertama Kumpulan A, lima minit sebelum perlawanan berakhir dan menghadiahkan jurulatih, Tite kemenangan pertama di kejohanan berkenaan.
“Ejekan sebahagian daripada permainan, peminat mahu kami menang dan bermain dengan baik, jadi kerana itu timbulnya ejekan,” kata Coutinho.
“Kami sentiasa mengharapkan sokongan mereka tetapi kami juga fokus terhadap objektif, iaitu permainan. Ejekan atau sorakan, perkara yang paling utama ialah kekal fokus dan meraih kemenangan.”
Jurulatih Bolivia, Eduardo Villegas akur dengan kekalahan skuad kendaliannya kepada juara lapan kali Copa America itu.
“Kami perlu jujur, Brazil menewaskan kami dan mengalahkan kami dengan bagus,” kata Villegas dengan pasukannya tampil dengan corak permainan bertahan. “Jika kamu mahu layak (pusingan kalah mati), kamu perlu menyerang dengan lebih kerap.” - AFP
Comentários
Postar um comentário