Pular para o conteúdo principal

Di Maria hilang 'sayap'

Pemain Argentina, Angel Di Maria (tengah) pada sesi latihan bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan dengan Paraguay pada perlawanan Copa America 2019. - Foto AFP
BELO HORIZONTE, Brazil: Angel Di Maria tiba di Copa America 2019 dengan dua sasaran utama tetapi prestasi longlai yang ditampilkan ketika kekalahan 0-2 Argentina kepada Colombia merencatkan harapannya.
Argentina sedang memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 26 tahun tetapi kekalahan pada minggu lalu memberi petunjuk laluan sukar yang bakal diharungi juara dunia dua kali itu.
Di Maria pula berharap untuk memperoleh penampilan ke-100 di Copa tetapi prestasinya ketika melawan Colombia cukup mengecewakan, hanya melakukan 15 sentuhan dan 10 hantaran sekali gus memaksa jurulatih Lionel Scaloni mengeluarkannya pada rehat babak pertama.
Sehari selepas kekalahan itu, penyerang Paris Saint-Germain itu diarahkan untuk berlatih bersama pemain gantian dengan penggantinya, Rodrigo de Paul kekal bersama skuad utama.
Di Maria memperoleh penampilan ke-98 ketika menentang Colombia justeru peluangnya untuk disenaraikan bagi dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan tampak samar.
"Angel tanpa sayap,” tulis akhbar sukan Argentina, Ole sejurus kekalahan itu. “Jika kehidupan Lionel Messi bersama skuad kebangsaan ditanda dengan pelbagai kegagalan, Angel Di Maria pula nampaknya seperti mengalami trauma.”
Seperti Messi, Di Maria mengambil rehat daripada beraksi bersama skuad kebangsaan selepas penyingkiran Argentina di Piala Dunia 2018.
Sejak kepulangannya, bersama bintang Barcelona, Messi dan penyerang Manchester City, Sergio Aguero, ia melonjakkan semangat pasukan tetapi prestasi yang ditampilkan bertemu Colombia menunjukkan sebaliknya.
Satu lagi akhbar, Clarin membuat kritikan pedas mengenai sumbangan Di Maria dengan berkata: “Dia langsung tidak menyerang” dan “tidak menghasilkan apa-apa” serta “bukan sesiapapun.”
Tetapi apa yang menyelamatkannya ialah selepas ketiadaannya di atas padang, Colombia berjaya menyumbat gol.
Apa yang pasti, Brazil adalah lokasi yang mencipta mimpi ngeri buat Di Maria ketika Piala Dunia 2014.
Tiba dengan semangat tinggi selepas cemerlang memenangi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid pada tahun sama, Di Maria beraksi dengan cukup baik membantu Argentina ke suku akhir sebelum dikecewakan dengan kecederaan.
Argentina mara ke final tetapi tewas kepada Jerman.
“Perlawanan final masih menghantui saya,” kata Di Maria baru-baru ini. “Perlawanan yang saya tidak sertai menjadi salah satu yang paling menyakitkan dalam karier saya.” 
Lawan Argentina berikutnya ialah Paraguay, esok. - AFP

Comentários