
Pengendali Chile, Reinaldo Rueda. - Foto Reuters
RIO DE JANEIRO: Pengendali Chile, Reinaldo Rueda berdepan dilema sama ada merehatkan penyerang bintangnya, Alexis Sanchez atau bersaing habis-habisan untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan C.
Sanchez bergelut dengan masalah kecederaan lamanya di buku lali ketika kemenangan 2-1 ke atas Ecuador yang menjamin juara bertahan itu tempat di suku akhir.
Jika pasukan itu berjaya mencatat kemenangan bertemu Uruguay di Stadium Marcana di Rio de Janeiro esok, mereka akan memenangi kumpulan dan akan bertemu Peru pada suku akhir.
Namun kekalahan bermaksud mereka akan ke suku akhir menentang Colombia, yang juga pendahulu Kumpulan B dengan rekod kemenangan 100 peratus.
“Ini adalah perkara yang perlu diambil kira, begitu juga bagaimana keadaannya selepas sesi latihan,” kata Rueda yang berasal dari Colombia itu.
“Daripada apa yang saya rasakan, semua orang mahu bermain esok dan semua orang sangat komited.”
Sanchez sudah mula mendapatkan prestasi terbaiknya di Brazil susulan musim suram bersama Manchester United.
Dia meledak dua gol dalam dua perlawanan Kumpulan C – lebih banyak daripada 20 perlawanan Liga Perdana yang diharungi bersama United musim lalu. – AFP
Comentários
Postar um comentário