Pular para o conteúdo principal

Gallese bawa Peru ke separuh akhir lawan Chile

PENJAGA gol Peru, Pedro Gallese meneyelamatkan sepakan penalti penyerang Uruguay, Luis Suarez. - Foto AFP
SALVADOR, Brazil: Penjaga gol Peru, Pedro Gallese menyelamatkan sepakan penalti Luis Suarez ketika membantu Peru menewaskan Uruguay 5-4 menerusi penentuan penalti di suku akhir Copa America pagi tadi sekali gus mara ke separuh akhir bertemu Chile, Rabu ini.
Edison Flores menyumbat gol penentuan Peru yang sebelum ini dibelasah 5-0 oleh Brazil. Mereka mara ke separuh akhir buat kali ketiga dalam empat kempen Copa America.
Ia malam cemerlang buat Gallese sekali gus menebus kekecewaaan ketika membenarkan Brazil mengaibkan mereka pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.
"Saya sangat bangga dengan pasukan ini, saya tidak tahu nak mengambarkannya menerusi ungkapan,” kata kapten Peru, Paolo Guerrero.
"Banyak pihak mengatakan kami tiada peluang, tetapi hari ini kami membuktikanya mampu menandingi mereka.
"Peru ada nafsu menang, Peru adalah wira, Peru ada keberanian."
Aksi pagi tadi menyaksikan kali ketiga perlawanan suku akhir Copa America berakhir tanpa jaringan selepas tiga jaringan Uruguay dalam masa sebenar perlawanan dibatalkan susulan ofsaid.
Jaringan Giorgian de Arrascaeta, Edinson Cavani dan Suarez masing-masing dibatalkan angkara ofsaid.
"Ia memang sedih. Kami berharap dapat layakkan diri tetapi ia sudah berakhir,” kata kapten Uruguay, Diego Godin.
"Kami kurang satu gol, kami sudah mencuba, kami memburunya….tapi ia dibatalkan.”
Sebelum ini Brazil menewaskan Paraguay juga menerusi penentuan penalti manakala juara bertahan Chile turut mara dengan cara sama selepas menyingkir Colombia, kelmarin.
Hanya Argentina berjaya mara menerusi jaringan masa sebenar apabila mengatasi Venezuela 2-0 Jumaat lalu.
Peru kini bakal berdepan Chile dalam aksi kedua separuh akhir di Porto Alegre Rabu ini sehari selepas pertemuan Brazil menentang Argentina di Belo Horizonte.
Peru selaku juara Copa America edisi 1939 dan 1975, tewas di tangan Chile ketika separuh akhir empat tahun lalu. – AFP

Comentários