Pular para o conteúdo principal

Gol Cavani julang Uruguay

Penyerang Uruguay, Edinson Cavani (dua dari kiri) dihalang dua pemain Chile pada perlawanan .. di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, sebentar tadi. - Foto REUTERS
RIO DE JANEIRO: Tandukan lewat permainan Edinson Cavani memberikan Uruguay kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan Copa Amerika Chile dan merampas tangga teratas Kumpulan C untuk pertemuan suku akhir dengan Peru.
Penyerang itu menanduk masuk hantaran Jonathan Rodriguez pada minit ke-82 untuk membezakan kedua-dua pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir itu.
Cavani dibuang padang ketika Uruguay tewas 1-0 kepada Chile di suku akhir Copa Amerika 2015 selepas diprovokasi oleh Gonzalo Jara, dan dia meraikan jaringan kemenangan kali ini seolah-olah sudah memenangi trofi.

Chile, yang menang mudah dalam dua perlawanan terdahulu menentang Jepun dan Ecuador, hampir mendahului permainan di babak kedua apabila Paulo Diaz menanduk bola ke arah gawang, tetapi pertahanan Uruguay Jose Gimenez mengeluarkan bola dari atas garisan gol.
Penyerang Chile, Alexis Sanchez (dua dari kiri) diasak pemain Uruguay pada aksi perlawanan Kumpulan C Copa America 2019, sebentar tadi. -Foto EPA
Penyerang Uruguay Luis Suarez yang juga pernah menjadi mangsa provokasi berunsur seksual Jara, mempunyai peluang meletakkan pasukannya di depan tetapi dia memilih untuk membuat percubaan liar berbanding menghantar bola kepada rakan sepasukan yang tidak dikawal.
Di akhir permainan, penonton berlari masuk ke padang dan berjaya mengelak pengawal keselamatan, namun tersungkur dibentes pertahanan Chile, Jara.
Uruguay menamatkan saingan Kumpulan C dengan tujuh mata, Chile di tangga kedua pada enam mata dan akan bertemu Colombia – satu-satunya pasukan yang menang kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan. – REUTERS

Comentários