Pular para o conteúdo principal

Guerrero bangga semangat juang Peru

Kapten Peru, Paolo Guerrero (dua dari kanan) menewaskan penjaga gol Bolivia untuk gol pasukannya pada Copa America, pagi tadi. - Foto EPA
RIO DE JANEIRO: Kapten Peru, Paolo Guerrero menyifatkan semangat tidak kenal erti mengalah membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1 terhadap Bolivia pada aksi Kumpulan A, pagi tadi.
Bolivia terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti menerusi Marcelo Moreno tetapi Guerrero menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Penyerang Lokomotiv Moscow, Jefferson Farfan meletakkan Peru di depan selepas 10 minit babak kedua bermula sebelum Edison Flores meledak gol ketiga pada aksi di Stadium Maracana.
“Apa yang utama ialah pasukan memberikan segala-galanya. Kami teragak-agak pada permulaan dan tidak melakukan banyak perkara dan kemudian Bolivia meraih penalti,” kata Guerrero.

Pemain Peru Jefferson Farfan menyumbat gol kedua pasukannya ketika menentang Bolivia pada Copa America, pagi tadi. - Foto REUTERS
“Ia menyakitkan kami dan kami hilang pertimbangan, tetapi terima kasih kepada tuhan, saya berjaya menjaringkan gol dan ia memberikan kami ketenangan.”
Selepas mengutip empat mata daripada dua perlawanan, Peru berpeluang untuk mara ke peringkat kalah mati Copa America buat pertama kali sejak format 12 pasukan diperkenalkan pada 1993.
Begitupun, perlawanan terakhir Peru adalah menentang tuan rumah Brazil yang turut mengharapkan kemenangan selepas terikat 0-0 menentang Venezuela pada aksi kedua, sebentar tadi.
Sementara itu, jurulatih Bolivia Eduardo Villegas mengharapkan anak buahnya meraih kemenangan ke atas Venezuela pada aksi terakhir untuk cuba melayakkan diri.
“Dengan ramuan dan pendekatan sama seperti yang kami gunakan pada perlawanan ini, iaitu agresif, keinginan untuk menyerang lawan dan tekanan yang tinggi, kami akan cuba memenangi perlawanan itu, ia peluang terakhir kami.” - AFP

Comentários