Pular para o conteúdo principal

Impian Copa Messi kembali menyala

LIONEL MESSI (kiri) dan rakan-rakan sepasukan meninggalkan padang
LIONEL MESSI (kiri) dan rakan-rakan sepasukan meninggalkan padang sejurus tamat perlawanan Copa America menentang Qatar di Gremio Arena, Porto Alegre, Brazil hari ini. - AFP
PORTO ALEGRE, Brazil - Impian Lionel Messi untuk memenangi sekurang-kurangnya satu trofi antarabangsa bersama Argentina kembali menyala selepas negara Amerika Selatan itu mengalahkan Qatar 2-0 hari ini untuk mara ke suku akhir Copa America.
Selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan pertama Kumpulan B, skuad La Albiceleste sedar mereka wajib menang dalam aksi terakhir di Porto Alegre.
"Ia sesuatu yang gila jika kami gagal melepasi peringkat kumpulan, apatah lagi ada tiga pasukan yang layak daripada setiap kumpulan.
"Saya yakin kami kami mampu melakukannya," kata Messi sebelum perlawanan itu.
Bagaimanapun, bukan Messi yang menghantar Argentina ke suku akhir, sebaliknya Lautaro Martinez dan Sergio Aguero.
Hanya empat minit selepas perlawanan bermula, Martinez menghukum kealpaan pertahanan Qatar apabila meletakkan Argentina di depan menerusi percubaan dalam kotak penalti.
Argentina bagaimanapun terpaksa menunggu lama untuk menambah gol kedua menerusi bintang Manchester City, Aguero, enam minit sebelum tamat permainan.
Argentina kini akan menentang Venezuela di Rio de Janeiro, Jumaat ini untuk perebutan tiket ke separuh akhir. - AGENSI

Comentários