LIONEL MESSI - AFP
LONDON - Lionel Messi akui persembahannya dalam saingan Copa America sehingga kini bukan di tahap terbaik, namun menyifatkan kemaraan Argentina di separuh akhir adalah paling penting.
Argentina bakal membuat perhitungan besar menentang tuan rumah Brazil selepas menundukkan Venezuela 2-0 di Maracana, Jumaat lalu.
Messi bagaimanapun sekadar menjaringkan sekali sepanjang empat perlawanan bersama Argentina dalam kejohanan itu, dan jaringannya hadir menerusi sepakan penalti ketika berdepan Paraguay dalam peringkat kumpulan.
Bintang Barcelona itu, yang akan berdepan Brazil Selasa ini, mengakui prestasi bukan di tahap terbaik dalam kejohanan tersebut.
“Sebenarnya, ini bukan prestasi terbaik saya dalam Copa America, tidak seperti yang saya jangkakan.
“Terdapat perlawanan yang berlangsung dengan bukan seperti yang diharapkan. Anda tidak boleh beraksi banyak kali, sukar untuk kami melakukan sesuatu perkara yang berlainan, atau untuk mengelak menentang musuh ketat.
“Apa yang penting sekarang ini kami sudah menang dan kami akan teruskan berjuang,” kata Messi.- AGENSI
Comentários
Postar um comentário