JEPUN merancang untuk menunjukkan ‘kekuatan’ mereka di Copa America apabila skuad Samurai Biru itu membuat penampilan kedua sebagai pasukan jemputan dalam Kumpulan C yang sukar bersama juara bertahan Chile, kata jurulatih Hajime Moriyasu awal pagi tadi.
“Saya tidak sabar bermain di Copa America. Ia satu daripada kejohanan bertaraf tinggi di dunia,” kata jurulatih itu di Sao Paolo.
“Bagaimana kami boleh menunjukkan kekuatan kami dan bagaimana kami bermain, itulah yang ingin kami cari dalam kejohanan ini,” kata jurulatih naib juara Piala Asia itu.
Jepun mungkin bukan dalam kelompok pasukan pilihan tetapi Moriyasu menegaskan pemainnya datang ke Brazil dengan mentaliti kemenangan.
“Kami akan bermain dalam usaha menang gelaran tetapi pertama sekali bagi kami adalah bermain perlawanan satu demi satu dan melakukan yang terbaik dalam setiap satunya dan kemudian baru fikirkan perlawanan seterusnya,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.
Sebelum itu Moriyasu mengumumkan bahawa Copa America akan menjadi pemanas badan untuk Sukan Olimpik yang akan diadakan di Tokyo tahun depan.
Skuad Jepun tiba di Brazil semalam dan akan beraksi dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Chile di Sao Paolo awal pagi Selasa.

Comentários
Postar um comentário