Pular para o conteúdo principal

Juara bertahan, Chile beri amaran awal

PENYERANG Chile Alexis Sanchez melakukan tandukkan untuk gol ketiga
PENYERANG Chile Alexis Sanchez melakukan tandukkan untuk gol ketiga pasukannya ketika membenam Jepun 4-0 dalam aksi Kumpulan C Copa America 2019. - AFP
SAO PAULO - Chile membuka kempen Copa America dengan kemenangan besar menundukkan Jepun 4-0 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Cicero Pompeu de Toledo.
Penyerang Chile, Eduardo Vargas meledak dua gol pada babak kedua selepas Erick Pulgar membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama.
Alexis Sanchez yang kurang mendapat tempat di Manchester United turut mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan itu membuktikan kepada Jepun, yang beraksi selaku pasukan jemputan dari Asia mengenai kekuatan mereka sebagai penyandang juara.
Kekalahan 4-0 jelas sukar buat Jepun, yang tiba dengan skuad berkualiti tetapi kurang pengalaman dengan beberapa peluang terbaik disia-siakan terutama daripada penyerang muda, Ayase Ueda.
Jepun memulakan permainan dengan yakin, mendominasi perlawanan dan menguasai bola tetapi gagal memberi ancaman terhadap gawang Chile yang dikawal Gabriel Arias.
Berpunca daripada sepakan sudut pemain Bayer Leverkusen, Charles Aranguiz, Chile membuka tirai jaringan pada minit ke-41 sebelum Vargas menyumbat gol kedua pada minit ke-54 menerusi sepakan dari luar kotak penalti.
Ketika Jepun terus terlepas beberapa peluang menjaringkan gol, Chile menambah derita apabila Sanchez menyumbat gol ketiga pada minit ke-82 sebelum Vargas melakukan kuisan menarik untuk menewaskan penjaga gol Jepun, Keisuke Osako buat kali keempat, seminit kemudian. - AFP

Comentários