Pular para o conteúdo principal

Kecederaan Neymar buat Brazil cemas



PERSIAPAN Brazil menjelang Copa America 2019 tersentak selepas penyerangnya, Neymar terpaksa dipapah keluar daripada padang ketika Selecao mengalahkan Qatar 2-0 dalam perlawanan persahabatan, hari ini.
Neymar jelas kecewa dengan situasi menimpa dirinya apabila kelihatan menutup mukanya menggunakan tangan di bangku simpanan selepas hanya sempat beraksi selama 20 minit di Stadium Mane Garrincha, Brazil.
Bungkusan ais besar dibalut di kaki kiri penyerang Paris Saint-Germain itu dengan dua pembantu skuad kebangsaan Brazil membantunya keluar daripada padang.
Kecederaan itu hadir kurang sembilan hari sebelum Brazil membuka tirai Copa America di gelanggang sendiri.
Neymar dipalit kecederaan selepas tiga minit Richarlison membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dengan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus meledak gol kedua minit ke-23.
Jika dia berdepan kecederaan serius, ia jelas tamparan hebat buat Brazil dalam usaha mereka menjuarai kejohanan benua itu yang kali terakhir dijulang pada 2007.
Kecederaan itu juga menambah duka buat Neymar yang berita mengenai dakwaan rogol oleh seorang wanita di Paris mendominasi media di Brazil dengan dia menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan.
Disebalik tuduhan berkenaan, Persekutuan Bolasepak Brazil menegaskan Neymar tetap akan beraksi di Copa America.

Comentários