
Rekasi jurulatih Qatar, Felix Sanchez ketika menentang Argentina pada saingan Kumpulan B Copa Amerika di Stadium Arena do Gremio. - Foto Reuters
PORTO ALEGRE, Brazil: Qatar mungkin tersungkur di peringkat awal kempen di Amerika Selatan tetapi tuan rumah Piala Dunia 2022 itu membuktikan masa depan mereka cerah berdasarkan penampilan di Brazil itu.
Mereka hadir di Copa Amerika sebagai pasukan yang tidak dikenali dalam kalangan penduduk tempatan tetapi walaupun tewas dua daripada tiga perlawanan mereka, Qatar terbukti mampu bersaing dan mampu melakukan kejutan apabila tampil buat kali kedua di kejohanan negara-negara Amerika Selatan itu.
“Ada ketika kami bermain dengan baik. Kami perlu terus bekerja keras,” kata pengendali Qatar, Felix Sanchez.
“Ini adalah pasukan muda yang akan matang dalam tempoh tiga tahun. Kami perlu bekerja keras untuk tampil kuat apabila sampai waktunya.”
Qatar belum pernah layak ke Piala Dunia dan akan mengambil bahagian buat julung kali sebagai tuan rumah pada tahun 2022.
Pada Februari di Emiriah Arab Bersatu, mereka menjuarai Piala Asia buat pertama kali walaupun pencapaian terbaik sebelum itu hanyalah mara ke suku akhir.
Dan penyertaan di Copa Amerika – kejohanan benua tertua membabitkan pasukan kebangsaan – memberi pendedahan buat Qatar kepada kejohanan peringkat tinggi yang belum pernah diharungi mereka.
Qatar bermula baik apabila bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat Paraguay 2-2, tetapi tumpas kepada Colombia 1-0 dan Argentina 2-0.
Pengendali Colombia Carlos Queiroz yang mempunyai pengalaman berdepan Qatar ketika membimbing Iran selama lapan tahun, merasakan negara Teluk itu mampu pergi lebih jauh.
“Qatar di sini untuk membuktikan bola sepak Asia mampu memberikan saingan dan jika anda tidak menghormati karakter mereka, kerjasama berpasukan mereka… lihat apa yang terjadi kepada Paraguay,” kata Queiroz.
“Mereka bangkit 2-2 dan Qatar hampir memenanginya.”
Dalam perlawanan menentang Colombia, kedudukan seimbang hingga minit ke-86 dengan Qatar mencipta beberapa peluang menerusi serangan balas sebelum tewas hasil tandukan Duvan Zapata.
Comentários
Postar um comentário