
LIONEL Messi
BELO HORIZONTE, Brazil: Penalti Lionel Messi menyelamatkan pasukannya selepas Argentina seri 1-1 berdepan Paraguay hari ini ketika juara dunia dua kali itu sekali lagi bergelut dalam Copa America.
Messi menyempurnakan penalti pada minit ke-57 di Stadium Mineirao dekat Belo Horizonte untuk menyamakan kedudukan selepas jaringan babak pertama pemain Paraguay, Richard Sanchez.
Argentina juga perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Franco Armani yang menyelamatkan penalti babak kedua seterusnya menghalang Paraguay daripada mendahului 2-1 dalam saingan Kumpulan B itu.
Keputusan itu memberikan Argentina satu mata daripada dua perlawanan dan kedudukan terbawah kumpulan berbaki satu perlawanan.
Bagaimanapun dengan dua pasukan terbaik daripada kedudukan ketiga juga mara ke suku akhir, Argentina masih boleh ke kelompok lapan terbaik dengan kemenangan penting berdepan Qatar dalam saingan terakhir kumpulan.
Pasukan gergasi Amerika Selatan itu perlu meningkatkan permainan mereka untuk mara selepas aksi hambar ketika tewas pada saingan pembukaan kepada Colombia Ahad lalu.
Saingan awal menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk menjana serangan dengan masing-masing gagal mencari ruang di depan gol sehingga cubaan penyerang Paraguay, Derlis Gonzalez hampir membias ke gol pada minit ke-29. - Reuters
Comentários
Postar um comentário