
TATKALA Neymar diketepikan akibat kecederaan buku lali, Lionel Messi melangkah ke Copa America hujung minggu ini sebagai tarikan kejohanan itu, juga tedesak mengakhiri penderitaan lebih sedekad bersama Argentina.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu mengumpul sejumlah trofi dalam sejarah bola sepak tetapi apabila menyebut mengenai pasukan kebangsaan, ia masih lagi lompong.
Empat gelaran Liga Juara-Juara dan 10 trofi La Liga bersama Barcelona nampaknya belum mampu menandingi kejayaan di Argentina dan pemain berusia 31 tahun itu menyedari masa semakin suntuk untuk memperbaiki keadaan.
“Saya ingin menamatkan karier dengan memenangi sesuatu bersama pasukan kebangsaan, atau sekurang-kurangnya cuba melakukannya sebanyak mungkin,” katanya kepada Fox Sports minggu lalu.
Empat final bersama Argentina, keempat-empatnya tewas, termasuk dua final Copa America menerusi penalti kepada Chile.
Namun paling menyakitkan adalah kekalahan final Piala Dunia 2014 kepada Jerman di stadium ikonik, Maracana di mana Messi berharap dapat kembali pada 7 Julai untuk penentu gelaran.
Kekalahan kepada Jerman itu memulakan badi kekalahan pada final untuk tiga tahun berturut-turut dan selepas itu Messi mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa biarpun hanya bertahan selama enam minggu.
“Orang ramai menyerang kami dari setiap sudut,” katanya.
Comentários
Postar um comentário