Pular para o conteúdo principal

Messi tekad akhiri kemarau Argentina


Lionel Messi. - Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Dengan Neymar direhatkan akibat kecederaan buku lali, Lionel Messi akan menjadi tumpuan utama pada saingan Copa America hujung minggu ini terutama selepas sedekad mengharungi kemarau kejuaraan bersama Argentina.
Walaupun koleksi trofinya bersama Barcelona antara yang paling gemilang dalam sejarah bola sepak, ia adalah sebaliknya dengan pasukan kebangsaan.
Empat mahkota Liga Juara-Juara dan 10 gelaran La Liga bersama Barcelona jauh berbeza dengan pencapainnya bersama Argentina.
Dan pemain 31 tahun itu sedar masanya semakin suntuk untuk menamatkan kemarau kejuaraan Argentina.
“Saya mahu menamatkan karier saya dengan memenangi sesuatu untuk pasukan kebangsaan, atau sekurang-kurangnya cuba melakukannya sebanyak mungkin,” kata Messi.
Empat final diharungi bersama Argentina, empat kekalahan, termasuk dua kali tewas penentuan penalti di tangan Chile pada dua final terakhir Copa America.
Tetapi yang paling memeritkan ialah kekalahan final Piala Dunia 2014 kepada Jerman di Maracana, di mana Messi berharap dapat kembali beraksi di stadium bersejarah itu pada 7 Julai untuk merebut gelaran Copa.
Kekalahan di tangan Jerman itu disusuli dengan dua kekalahan final berturut-turut Copa dan Messi mengumumkan persaraannya daripada pasukan kebangsaan.
Namun persaraannya hanya bertahan enam minggu, dengan Messi kembali dan meledak hatrik untuk kemenangan 3-1 ke atas Ecuador yang membawa Argentina ke Piala Dunia Russia tahun lalu. – AFP

Comentários