
Lionel Messi (tengah) bersama rakan ketika sesi latihan bagi menghadapi saingan Copa Amerika pada 14 Jun ini. - Foto EPA
LONDON: Lionel Messi mendedahkan dia belum pasti dapat beraksi di Piala Dunia 2022 di Qatar sekali pun Argentina layak.
Bintang Barcelona itu akan mencecah usia 34 tahun ketika kejohanan berprestij itu membuka tirainya dengan Argentina masih memburu trofi Piala Dunia ketiga sejak kali terakhir Diego Maradona menjulangnya pada 1986. 
Selepas memenangi semua gelaran utama dan individu di peringkat kelab sepanjang kariernya, Messi masih ternanti-nantikan trofi utamanya di peringkat senior bersama skuad kebangsaan.
Penyerang berbisa itu mengharungi beberapa kempen mengecewakan bersama Argentina, termasuk tewas di final Copa America sebanyak tiga kali dan Piala Dunia 2014 menentang Jerman.
Pemain berusia 31 tahun itu mempunyai satu lagi peluang untuk memenangi trofi utama untuk negaranya apabila Copa America membuka tirainya di Brazil, pertengahan bulan ini.
“Saya mahu mengakhiri karier saya dengan memenangi sesuatu untuk pasukan kebangsaan Argentina, atau jika tidak mencubanya sebanyak yang mungkin,” kata Messi. “Saya tidak mahu merasai perasaan yang ia tidak akan berlaku dan saya membiarkan peluang berlalu.”
Begitupun, peluang untuk memenangi Piala Dunia berikutnya mungkin dilepaskan oleh Messi apabila dia mengakui belum pasti sama ada jika berupaya untuk bermain di Qatar.
“Saya tidak tahu jika saya tiba di Piala Dunia di Qatar,” katanya. “Tuhan akan menentukan sama ada ia diberikan kepada saya atau tidak. Hari ini, saya berasa hebat, amat bagus secara fizikal tetapi saya hampir berusia 32 tahun dan saya tidak tahu berapa lama lagi ia boleh pergi.
“Banyak perkara boleh berlaku, saya berharap saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya yang mengharungi satu lagi kempen di peringkat kelab dengan menakjubkan apabila meledak 51 gol bersama Barcelona sepanjang musim ini. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário