Pular para o conteúdo principal

Messi yakin kualiti 'ubi muda' Argentina


LIONEL Messi. - Foto Reuters

BUENOS AIRES: Lionel Messi mengakui kehadiran Argentina di Copa Amerika 2019 bukan sebagai pilihan tetapi yakin dengan perubahan yang sedang dijalankan jurulatih Lionel Scaloni.
Pemain bintang Barcelona berusia 31 tahun itu mara ke final kejohanan benua itu sebanyak dua kali sebelum ini pada 2015 dan 2016 tetapi tewas kepada Chile menerusi penentuan penalti.
Argentina mara ke empat final kejohanan utama tetapi gagal meraih sebarang kemenangan dengan gelaran terakhir di Copa America ialah pada 1993 di Ecuador.
Sekali pun tidak yakin dengan kemampuan pasukannya untuk mencabar kejuaraan edisi 2019, Messi percaya skuad itu sedang mengalami perubahan.
"Kami sentiasa pergi dengan keterujaan yang sama, tetapi realitinya adalah Argentina sedang mengharungi proses peralihan," kata Messi.
"Ia kejohanan utama pertama untuk kebanyakan pemain tetapi ia juga tidak bermakna Argentina tidak akan memburu trofi. Kami cuma bukan calon seperti kebiasaan."
Messi mengakui dia masih merasai kekecewaan bersama Barcelona pada musim lalu ketika juara Sepanyol itu longlai di penghujung saingan termasuk tersingkir di separuh akhir Liga Juara-Juara dan kempunan trofi Piala Raja Sepanyol.
Begitupun, dia menegaskan kekecewaan itu tidak mengganggu persiapannya bagi membantu Argentina.
"Saya rasa lebih penat dan kecewa secara mental berbanding fizikal, semuanya adalah kerana penyingkiran di Liga Juara-Juara," katanya. 
"Sejak beberapa tahun lalu, saya semakin kurang bermain (skuad kebangsaan) tetapi perasaan saya tetap bagus. Ia benar-benar kumpulan pemain yang hebat dan amat bersemangat untuk melakukan perkara dengan betul." - AGENSI

Comentários