
Penyerang Brazil, Neymar (kanan) dihalang pemain Qatar, Miguel Correia pada aksi perlawanan persahabatan, di Brazil hari ini. - Foto EPA
BRASILIA: Persiapan Brazil menjelang Copa America 2019 terganggu selepas penyerang sensasinya, Neymar terpaksa dipapah keluar daripada padang ketika Selecao menewaskan Qatar 2-0 pada aksi persahabatan, hari ini.
Neymar jelas kecewa dengan situasi berkenaan apabila menutup mukanya menggunakan tangan di bangku simpanan selepas hanya sempat berada di atas padang selama 20 minit pada aksi di Stadium Mane Garrincha.
Satu bungkusan ais besar dibalut di kaki kiri penyerang Paris Saint-Germain itu dengan dua pembantu skuad kebangsaan Brazil membantunya keluar daripada padang.
Kecederaan itu hadir kurang sembilan hari sebelum Brazil membuka tirai Copa America di gelanggang sendiri.
Neymar dipalit kecederaan selepas tiga minit Richarlison membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dengan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus menyumbat gol kedua pada minit ke-23.
Jika dia berdepan kecederaan serius, ia jelas tamparan hebat buat Brazil dalam usaha mereka menjuarai kejohanan benua itu yang kali terakhir dijulang pada 2007.
Kecederaan itu juga menambah duka buat Neymar yang berita mengenai dakwaan rogol oleh seorang wanita di Paris mendominasi media di Brazil dengan dia menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan.
Disebalik tuduhan berkenaan, Persekutuan Bolasepak Brazil menegaskan Neymar tetap akan bermain di Copa America dan sekali pun sedang dalam siasatan polis, pemain itu tetap berlatih bersama rakan sepasukannya. - AFP
Comentários
Postar um comentário