
Neymar pada sesi latihan di Granja Comary, Tersopolis, Brazil menjelang Copa America 2019. - Foto EPA
RIO DE JANEIRO: Pemain tengah Brazil, Fernandinho memberikan sokongan kepada Neymar dengan berharap dakwaan rogol yang dihadapi bintang itu tidak menjejaskan persiapan pasukan mengharungi Copa America 2019.
Terdahulu, Neymar mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan berkenaan selepas Kementerian Keselamatan Awam Sao Paulo mengesahkan seorang wanita membuat laporan diperkosa oleh bintang Paris Saint-Germain itu.
Wanita yang tidak dinamakan itu mendakwa Neymar merogolnya di sebuah hotel di Paris, 15 Mei lalu.
Pemain itu memberi penjelasan menerusi video di laman Instagram untuk menafikan dakwaan itu sambil menegaskan dia adalah mangsa pemerasan dan kecewa dengan tuduhan yang menjejaskan reputasi diri serta keluarganya.
"Saya ada dengar mengenai perkara ini tetapi saya fikir ia pelik. Gadis itu melemparkan tuduhan terbabit hanya 15 hari sebelum kami bertolak," kata Fernandinho.
"Apapun, saya fikir perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dan saya percaya Neymar tidak bersalah. Kami memberikan sokongan kepadanya supaya perkara ini tidak menjejaskan persiapan kami."
Neymar tiba di kem pusat pasukan Brazil dengan helikopter peribadinya, namun enggan bercakap dengan wartawan.
Brazil kini dalam rangka persiapan untuk mengharungi Copa America 2019 yang disertai 10 negara Amerika Selatan selain dua pasukan jemputan iaitu Jepun dan Qatar.
Pasukan yang digelar Selecao itu akan bertemu Qatar pada aksi persahabatan, 5 Jun ini sebelum membuka kempen menentang Honduras, empat hari kemudian. - AFP
Comentários
Postar um comentário