Pular para o conteúdo principal

Penalti bawa Chile ke separuh akhir

Pemain Chile, Arturo Vidal (tengah) mengawal bola dari penyerang Colombia, Radamel Falcao (2 dari kanan) dan Juan Cuadrado (kiri) pada aksi perlawanan Copa Amerika, hari ini. - Foto REUTERS
SAO PAULO: Juara bertahan Chile mara ke separuh akhir Copa Amerika selepas menundukkan Colombia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti susulan keputusan seri 0-0 pada perlawanan yang berlangsung di Arena Corinthians, hari ini.
Alexis Sanchez meledak penalti kemenangan selepas tendangan terakhir pasukan Colombia yang diambil William Tesillo tersasar.
Chile akan bertemu sama ada Uruguay atau Peru pada Rabu ini di Porto Alegre, manakala satu lagi pertemuan separuh akhir membabitkan tuan rumah Brazil dan Argentina.
Chile pernah menewaskan Argentina dalam dua perlawanan akhir sebelum ini menerusi sepakan penalti dan kali ini, mereka tidak memberikan peluang buat penjaga gol Colombia David Ospina.
"Saya rasa kami mempunyai peluang (ketika perlawanan). Kami tidak menggunakan peluang itu dan diheret ke penentuan sepakan penalti," kata pemain Chile, Charles Aranguiz.
Pemain Colombia, Roger Martinez (tengah) dicabar pemain Chile, Erick Pulgar (kanan) pada perlawanan Copa Amerika, hari ini. - Foto EPA
Pemain Chile, Eduardo Vargas (kanan) melakukan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Colombia pada perlawanan Copa Amerika, hari ini. - Foto EPA
"Pasukan kami mempunyai keyakinan ketika berdepan situasi sepakan penalti kerana kami sudah menang dua kali menerusi penalti. Jadi ia memberikan kami kekuatan."
Sepak mula di Arena Corinthians ditangguhkan selama 20 minit selepas jurulatih Chile tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas di Sao Paulo, memaksa 40,000 penonton menanti.
Perlawanan dicemari dengan 35 kekasaran namun kualiti permainan tidak terjejas apabila kedua-dua pasukan kerap mencipta peluang.
Chile tidak bernasib baik untuk memenangi perlawanan dalam tempoh 90 minit apabila dua jaringan dicipta Aranguiz pada separuh masa pertama dan Vidal, pada separuh masa kedua dinafikan Video Bantuan Pengadil (VAR).
"Ia sukar kerana anda sudah bermain lebih satu jam dan mereka membatalkan dua gol," kata Vidal.
"Tetapi kami teruskan perjuangan dan memenangi sepakan penalti. Kami memang berhak," – REUTERS

Comentários