Pular para o conteúdo principal

Qatar mampu 'hadiahkan' Messi mimpi ngeri - Sanchez

Sanchez menegaskan skuad kendaliannya tidak berada di Copa America untuk hanya bergambar dengan Lionel Messi. - Foto EPA




RIO DE JANEIRO: Jurulatih Qatar, Felix Sanchez menegaskan skuad kendaliannya tidak berada di Copa America untuk hanya bergambar dengan Lionel Messi ketika pasukan pelawat kejohanan itu bersedia mencipta kejutan terhadap Argentina dan layak ke suku akhir.
Qatar dan Argentina, yang juga naib juara edisi 2015 dan 2016 akan bertemu di Porto Alegre, awal pagi ini bagi memburu tiket ke peringkat kalah mati.
Juara Asia dan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar mengutip satu mata daripada dua perlawanan mendahului Argentina dalam Kumpulan B menerusi jumlah jaringan ketika pasukan yang menghuni tangga ketiga turut memberikan peluang untuk layak.
Tekanan ketika ini jelas terhadap Argentina dan bintang utamanya, Messi untuk mengelak penyingkiran di peringkat kumpulan tetapi Sanchez menegaskan pasukannya tidak akan terlalu menghormati pemenang lima kali Ballon d'Or itu.
“Benar kami tidak begitu dikenali di Amerika Selatan, tetapi kami memiliki pemain yang amat profesional dan kami datang ke sini untuk bersaing, bukan untuk bergambar dengan Messi,” kata Sanchez.
“Mereka pasukan dan mempunyai kewajipan untuk menang. Kami akan cuba bersaing dengan pasukan hebat yang memiliki pemain terbaik di dunia. Kami mempunyai peluang untuk layak dan ia mengujakan, bukan mengenai kami berjaya menyingkirkan gergasi seperti Argentina.”
Messi meledak gol ketika Argentina seri 1-1 menentang Paraguay selepas tewas 0-2 pada aksi pembukaan kepada Colombia.
Qatar dalam pada itu mengatasi defisit ketinggalan dua gol untuk mengikat Paraguay 2-2 sebelum tewas 1-0 kepada Colombia pada aksi kedua.
Selain Qatar, turut beraksi di Copa America pada tahun ini ialah naib juara Asia, Jepun yang memerlukan kemenangan ke atas Ecuador, Selasa ini untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati. - AGENSI

Comentários