Pular para o conteúdo principal

Sanchez puas kembali meledak


ALEXIS Sanchez

SAO PAULO: Penyerang Chile, Alexis Sanchez menghela nafas lega selepas kembali menemui sentuhan gol dalam tempoh lima bulan ketika membantu negaranya menewaskan Jepun 4-0 pada aksi Copa America 2019, pagi tadi.
Chile, juara edisi 2015 dan 2016 membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi Erick Pulgar dan menambah gol kedua menerusi Eduardo Vargas pada separuh masa kedua dengan Sanchez menyumbat gol ketiga, 10 minit sebelum permainan berakhir menerusi tandukan.
Vargas membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kedua peribadinya buat penyandang juara itu, seminit kemudian berpunca daripada hantaran Sanchez.
Bergelut bersama Manchester United sejak mengharungi kecederaan lutut pada Mac lalu, Sanchez mengakui dia mengharungi salah satu tempoh paling buruk dalam kariernya baru-baru ini.
“Selama enam minggu saya merasa cukup teruk dan saya tidak pernah merasainya sebelum ini,” kata Sanchez. “Saya bergelut pada babak pertama dan berasa kaku tetapi pada babak kedua, saya lebih tenang dan bermain dengan lebih kebebasan dan keterujaan.”
Kemenangan  meletakkan Chile berkongsi tangga teratas Kumpulan C bersama Uruguay yang turut menewaskan Ecuador 4-0, semalam.
Jepun yang juga naib juara Asia dan beraksi bersama Qatar menyenaraikan ramai pemain berbakat tetapi kurang pengalaman dan menggunakan kejohanan sebagai ujian buat pemain menjelang temasya Olimpik di Tokyo, tahun depan.
Chile tidak dianggap sebagai calon juara bagi edisi kali ini sekali pun tiba dengan status penyandang juara selepas gagal layak ke Piala Dunia tahun lalu tetapi Sanchez berkata pasukan itu berada di landasan yang betul.
“Saya fikir kami sudah meningkat sebagai pasukan sejak 2015 ketika bertahan dan kembali melakukan serangan dengan pantas,” katanya. “Kami menang perlawanan yang amat sukar dan kini kami perlu berfikir mengenali lawan berikutnya.”
Lawan Chile seterusnya ialah Ecuador, Sabtu ini selepas pertembungan Jepun dan Uruguay. - REUTERS

Comentários