Pular para o conteúdo principal

Skandal tak buat Neymar disisihkan

NEYMAR
PARIS: Bintang Paris Saint-Germain, Neymar tetap akan beraksi di Copa America sekali pun dipalit tuduhan rogol, kata Presiden Persekutuan Bolasepak Brazil, Rogerio Caboclo.

"Tiada peluang yang dia tidak akan mengambil bahagian di Copa America," kata Caboclo kepada wartawan ketika Kongres FIFA di sini, semalam.

"Kami akan mengikuti rapat perkembangan isu itu dan kami cukup yakin dengan Neymar, kami tahu siapa dirinya dan semangat kesukanan yang dimilikinya."

Neymar, 27, dituduh merogol seorang wanita Brazil di sebuah hotel di Paris, pertengahan bulan lalu selepas timbul bukti di media sosial yang menunjukkan wanita terbabit diterbangkan ke Perancis untuk bertemunya.

Neymar begitupun menafikan dakwaan berkenaan.

Dia ketika ini berada di Brazil sebagai persiapan mengharungi Copa yang dijadual berlangsung 14 Jun hingga 7 Julai ini di gelanggang sendiri.

Caboclo juga berkata jika Neymar menjadi sasaran pemerasan, penyerang itu perlu melawannya.

"Dia salah seorang pemain terbaik di dunia, saya percaya peminat boleh memainkan peranan disebabkan betapa pentingnya dia untuk kami," kata Caboclo.

Neymar memaparkan video berdurasi selama tujuh minit di Instagram, Sabtu lalu yang menafikan dia merogol wanita berkenaan dan menunjukkan beberapa siri mesej di WhatsApp termasuk gambar bogel tetapi tindakan itu menyalahi undang-undang di Brazil.

Dalam perkembangan terbaru kes berprofil tinggi berkenaan, firma guaman yang berpangkalan di Sao Paulo dan mewakili wanita berkenaan berkata mereka sudah menggugurkan kes berkenaan kerana dia mengubah ceritanya, lapor Globo TV, Isnin lalu. - AFP

Comentários