
Penyerang Uruguay, Luis Suarez (tengah) cuba dihalang penjaga gol Ecuador, Dominguez (kanan) pada aksi perlawanan Copa America 2019, sebentar tadi. - Foto EPA
BELO HORIZONTE, Brazil: Luis Suarez dan Edinson Cavani meledak gol ketika Uruguay menewaskan Ecuador yang beraksi 10 pemain 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan C saingan Copa America 2019, sebentar tadi.
Jaringan pembukaan Uruguay diledakkan Nicolas Lodeiro seawal minit keenam sebelum pertahanan tengah Ecuador, Jose Quintero diarah keluar padang susulan layangan kad merah pada minit ke-24.
Kelebihan itu pantas dimanfaatkan oleh Uruguay pada aksi di Stadium Mineirao itu dengan Cavani dan Suarez masing-masing menyumbat gol pada babak pertama.
Gol keempat yang diperoleh pada babak kedua berpunca daripada jaringan sendiri pemain Ecuador, Arturo Mina, 12 minit sebelum permainan berakhir.
Kemenangan menjadi permulaan sempurna buat Uruguay yang diundi dalam kumpulan yang turut diisi penyandang juara, Chile dan Jepun yang akan bertemu di Sao Paulo, esok.
Berpunca daripada hantaran bintang Barcelona, Suarez, Lodeiro membuktikan kemampuannya apabila tenang menewaskan pertahanan Ecuador sebelum melepaskan rembatan voley menarik mengatasi penjaga gol Alexander Dominguez.

Penyerang Uruguay, Edinson Cavani (dua dari kanan) melakukan sepakan gunting ke arah gawang Ecuador pada perlawanan Copa America 2019, sebentar tadi. - Foto EPA
Ecuador menggunakan corak permainan fizikal yang mencetuskan kemarahan pemain Uruguay dan Quintero tampak bertuah selepas terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan sekali pun dilihat menyiku Diego Laxalt.
Begitupun sejurus itu, tangannya menyentuh muka Lodeiro apabila kedua-duanya bertarung di udara yang mengakibatkan muka lawannya itu berlumuran darah.
Pengadil dari Brazil yang berbadan sasa, Anderson Daronco pada awalnya melayangkan kad kuning tetapi selepas berunding dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) keputusannya diubah kepada kad merah.
Dan kurang 10 minit selepas itu, penyerang Paris Saint-Germain, Cavani menambah kelebihan Uruguay menerusi rembatan gunting cantik sebelum Suarez memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk terus menghukum Dominguez pada minit ke-44.
Gol keempat hadir selepas Gaston Pereiro cuba untuk menyambar hantaran Cavani tetapi tandukannya menuju ke kaki pertahanan Ecuador, Mina yang kemudian secara tidak sengaja menembusi gawangnya sendiri. - AFP
Comentários
Postar um comentário