Pular para o conteúdo principal

Suarez kecewa Uruguay diikat Jepun

Reaksi Suarez selepas Uruguay hanya mampu seri 2-2 dengan Jepun

Reaksi Suarez selepas Uruguay hanya mampu seri 2-2 dengan Jepun pada aksi peringkat kumpulan Copa Amerika 2019 semalam.
PORTO ALEGRE, Brazil - Penyerang Uruguay, Luis Suarez mengakui keputusan seri 2-2 dengan Jepun dalam aksi kedua Kumpulan C Kejohanan Copa America meninggalkan kesan yang mendalam buat mereka di Arena do Gremio awal pagi semalam.

Jelasnya, meskipun peluang yang terhidang lebih memihak kepada Uruguay dan bermain lebih baik berbanding pasukan lawan, namun setiap kesilapan yang dilakukan mereka di atas padang telah dihukum dengan jaringan.
Dalam perlawanan tersebut, Video Bantuan Pengadil (VAR) berjaya menyelamatkan skuad kendalian Oscar Tabarez itu selepas Suarez menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-32 untuk me­nyamakan kedudukan 1-1 selepas mereka terlebih dahulu dikejutkan Jepun dengan ja­ringan Koji Miyoshi.
Bersambung babak kedua, Miyoshi sekali lagi meletakkan Jepun di depan pada minit ke-59 sebelum sentuhan Jose Maria Gimenez berjaya menyelamatkan maruah mereka dengan keputusan seri 2-2 dengan wakil Asia itu yang sebelum ini kecundang 0-4 kepada Chile dalam aksi pembukaan.
“Kami sepatutnya memperbetulkan kesilapan yang dilakukan dan memanfaatkan segala peluang yang terhidang ketika berdepan Jepun.
“Kami juga mencipta peluang paling banyak (berban­ding Jepun). Perkara tersebut telah meninggalkan kesan yang pahit buat kami (selepas Argentina gagal menca­tatkan kemenangan dalam perlawanan kedua).
“Secara umumnya, kami berjaya bermain dengan baik, tetapi dalam kejohanan seperti ini kami tidak sepatutnya mengambil mudah kerana dua kesilapan yang dilakukan telah dihukum dengan jaringan lawan.
“Situasi ini menyebabkan kami perlu lebih berwaspada untuk berdepan dengan mana-mana pasukan,” kata Suarez. – Agensi

Comentários