
PENYERANG Uruguay, Luis Suarez (kiri) ditenangkan kapten pasukan, Diego Godin selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. - Foto AFP
SALVADOR, Brazil: Pemain bintang Uruguay, Luis Suarez tidak dapat menahan kesedihan selepas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan Peru mara ke separuh akhir Copa America dengan kemenangan 5-4 pagi tadi untuk menempah pertembungan dengan penyandang juara, Chile, Rabu ini.
Sepakan penalti Suarez diselamatkan penjaga gol Peru, Pedro Gallese sekali gus menyingkirkan juara 15 kali itu pada perlawanan yang turut menyaksikan tiga gol dibatalkan dan aksi sepenuh masa tamat tanpa jaringan.
Suarez mensia-siakan sepakan penalti pertama itu apabila percubaannya melantun ke dada Gallese untuk melengkapkan malam penuh kecewa buat penjaring terbanyak sepanjang zaman Uruguay itu yang jaringannya turut dibatalkan kerana ofsaid.
Semua pemain lain menyempurnakan sepakan penalti mereka dan Edison Flores memastikan Peru mara ke kelompok empat terakhir dengan rembatannya melepasi Fernando Muslera.
Suarez yang berusaha untuk kembali cergas selepas menjalani pembedahan lutut Mei lalu menutup wajahnya dengan jersi dan terpaksa dipujuk rakan sepasukan selepas gagal menyempurnakan penalti.
“Luis sungguh sedih, dia menamatkan perlawanan dengan kegagalan menjaringkan gol penting tetapi itulah bola sepak dan kehidupan,” kata Edinson Cavani kepada wartawan.
“Ada kalanya anda menang, ada kalanya anda kalah. Kami pernah menang Copa sebelum ini tetapi hari ini kami perlu menerima hakikat yang kami tersingkir.”
Peru bakal berdepan Chile di separuh akhir manakala tuan rumah Brazil menentang musuh tradisi, Argentina, Rabu ini.
“Saya amat bangga. Saya tidak terkata apa-apa,” kata penyerang Paolo Guerrero selepas menyempurnakan jaringan penalti.
“Orang bercakap sebelum ini bahawa Uruguay pasukan pilihan tetapi menjadi pasukan pilihan tidak bermakna apa-apa dalam bola sepak, terutamanya di Amerika Selatan.” – Reuters
Comentários
Postar um comentário